Wednesday, 25 November 2015
DIKAU PUTERA PUTERIKU
Sekian lama dirimu ku tinggalkan.Bukan kerana benci atau mahu abaikan tanggungjawab sebagai seorang ibu terhadap anak kandung sendiri,tetapi dek tuntutan nafsu ego dan sombong seorang bapa maka kita harus 'berpisah'. Namun hati kita sering bertaut.Saban hari dan setiap malam mama akan sentiasa berdoa dan bersolat hajat serta tahajjud memohon pertolongan dari Allah agar kita akan diketemukan dalam suasana seperti dahulu.Tiada ungkapan lagi yang hendak mama coretkan di sini melainkan kata rindu yang tersangat rindu.Masa berlalu begitu pantas,anak-anak mama cepat membesar dalam kerinduan dan kesengsaraan.Dari raut wajah kalian,mama dapat menafsirkan bahawa wajah riang itu bersalut duka. Jarak waktu telah memisahkan kita. Ketahuilah mama tidak pernah merasa jauh dari kalian malah sentiasa dekat dan sentiasa memeluk kalian saban hari terutama sewaktu kalian hendak tidur.Mama rasakan kepala anak mama atas ribaan dan mama mengusapnya dengan penuh kasih sayang.Kan selalu mama buat macam tu sebelum tidur,kena salam dan cium mama dulu.Tidak pernah walau sedetik hati ini meninggalkan kalian jauh dari menetap di hati,malah walau kemana saja pergi dan andai ada wajah-wajah remaja lelaki yang menyerupai anak mama,terus mama dekati dan snap fotonya.Mama akan tatap wajah itu sampai puas.Andai tiada sesiapa di situ mahu rasanya mama memeluk dan mencium mereka.Tapi ini Malaysia,bukan Amerika.Ada batasan agama,nasib baiklah.Apa-apa yang mama lakukan semua kerana anak mama.Bila mama terserempak dengan kanak-kanak terus saja mama hulur duit tak kira berapa yang ada sebab mama rasakan seolah sedang menghulur duit kepada anak mama.Dan mama juga berharap ada insan yang sudi menghulur sumbangan kepada anak mama seperti apa yang telah mama lakukan terhadap anak-anak orang lain.
Mama cuba selami diri dan mengawal emosi.Tanya pada diri,"eh,aku ni betul ke tak? Gila ke apa?"..Oh tidak,mama bersyukur kerana Allah sentiasa tiupkan dalam diri mama semangat kesian dan perihatin terhadap remaja dan kanak-kanak serta orang tua.Itulah yang Islam ajarkan.Ya, mama di landasan yang benar. Sejarah menghitung masa dan hari rupanya masih berulang dalam hidup mama,Kalau dahulu semasa kalian masih kecil, orang semua menghitung hari untuk sampai ke penghujung bulan kerana hendakkan gaji,bonus atau apa-apa manfaat yang lain.Tapi mama menghitung hari dan masa menunggu kalian besar dan matang.Mama tidak sabar menunggu kalian besar sebab terlalu siksa dan derita ketika itu.Bukan siksa kerana terpaksa membela kalian,maksud mama,ketika itu mama keseorangan ke hulu ke hilir mengelek kalian,memberi pendidikan dunia dan akhirat.Seolah-olah orang lain tak wujud bersama kesusahan mama.Di tambahnya lagi gaji mama kecil untuk membeli keperluan kalian.Tapi mama sentiasa pasrah dan redha dalam membesarkan kalian sehingga menjadi anak yang soleh dan solehah serta kacak jelita.
Sekarang mama masih menghitung masa dan hari untuk bersama kalian semula.Akan ada waktu kah untuk kita nanti mengulangi saat indah bersama?
Mama syukur dan bangga kesemua anak-anak mama kuat pegangan agamanya serta seorang yang mengambil berat tentang pelajaran.Bukan yang putera sahaja,malah puteri-puteri mama pun adalah yang terbaik buat mama.Dengan muslimahnya,sopan santunnya serta tinggi budi pekerti.
Andai satu hari mama menutup mata,tidak akan rasa terkilan lagi untuk meninggalkan anak-anak mama dalam situasi yang ada sekarang.Mama yakin setiap hari setiap waktu mama akan dihidangkan dengan doa-doa,ayat-ayat Al Quran serta amal jariah dari kalian.Betul kan.InsyaAllah.Akhir sekali,dari kejauhan ini,andai masih ada rindu untuk mama di sini,sebutlah nama mama di setiap doa kalian.Ketika itulah hadirnya mama di sisi kalian.Assalamualaikum putera puteriku.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment