Tuesday, 9 July 2013
SOLAT TAHAJJUD SELEPAS SOLAT WITIR..BOLEH KE?? INI JAWAPANNYA.
Solat witir disebut dalam hadis Baginda saw sebagai penutup solat malam (qiyam) sebagaimana di bawah:
Jadikan witir sebagai akhir (penutup) solat kamu dimalam hari. (HR Imam Bukhari : 998 dan Imam Muslim : 751)
Kata Asy-Syaikh Abdullah bin Abd Rahman Al-Bassam , walau bagaimana pun tidak dilarang untuk seseorang menunaikan solat - solat sunat lain seperti solat sunat bersebab , tahajjud dan sebagainya selepas menunaikan solat witir. Ini kerana perbuatan tersebut adalah thabit dari Rasulullah saw sebagaimana hadisnya yang diriwayatkan dari Saidatina A’isyah r.a :
Sesungguhnya Nabi saw menunaikan solat 2 rakaat dimalam hari selepas solat witir , dan dia dalam keadaan duduk (HR Imam Muslim : 738)
Asy-Syaikh Ibn Jibrin r.h dalam fatawanya [Fatawa Ramadhan : 826] menyebutkan bahawa sesiapa yang telah menunaikan witir bersama - sama dengan imam dalam solat tarawikh , maka ia tidak perlu mengulanginya semula (solat witir). Dia boleh melakukan solat sunat dua rakaat lain jika dia ingin bangun malam , tetapi tidak boleh menunaikan solat witir kali kedua kerana solat witir tidak boleh dilakukan 2 kali dalam satu malam.
Dalilnya ialah hadis Rasulullah saw :
Tidak ada dua witir dalam satu malam (Hadis Hasan riwayat Ahmad 4/23 , Abu Daud : 1439 , Tirmizi : 470 , An-Nasaie: 1679 dan Ibn Hibban : 6/201)
Maka kesimpulannya , tidak ada tegahan untuk melakukan solat sunat malam seperti tahajjud selepas menunaikan solat witir , tetapi tidak boleh diulangi solat witir lagi selepas itu.Cukup dengan sekali witir sahaja yang telah dikerjakan sebelum itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment