Bismillahirrahmanirrahim
KUTINGGALKAN CINTA INI DEMI DIA
Telah kuhitung usia percintaan ini,bertahun lamanya. Menyubur bak cendawan direnjis embunan pagi. Indah. Tiada setitis noda mewarnai tabir cinta.Episod demi episod lembaran cinta,kita sulami dengan butiran kata hikmah. Kita pautkan setiap angan pada rantingan janji yang penuh patri.Tiada kan goyah walaupun badai mengheret di pertengahan lautan yang mengganas. Juga karangan laut tidak bisa mengikir sebutir cinta yan terlahir dari ketulusan dua hati antara kau dan aku.
Begitu sempurnanya kita menjagai cinta ini dengan penuh rasa hormat agar tiada hati yang tercalar dek cakaran kuku-kuku egois yang berbisa. Kita simpul kemas kata janji agar tiada yang terlerai semua cerita-cerita suka duka kita dari berjejeran di pertengahan jalan. Kita tidak pernah berebut meluah isihati dan tidak rasa untuk menjuarai setiapkali sengketa menjengah dalam arena perhubungan kita. Mungkin kerana kita tempatkan 'beralah' di puncak yang tertinggi agar hati kita sentiasa berpadu dan tiada ruang untuk mencari siapa yang bersalah..
Tuhan,adalah tempat untuk kita berilham dan berilusi. Dia menyaksikan segalanya. Cinta kita berpaksikan cintaNya, Dia sentiasa hadir saat kita alpa dan asyik,astaghfirullah hal 'azim. Seringkali kesyukuran memanjat hati saat kita berjaya melawan setiap hasutan dan bisikan antagonis syaitan dan iblis laknatullah. Kerana cinta kita bukan untuk sesaat,tapi cinta kita sampai ke denyutan nadi yang terakhir.
Hidayah Allah sentiasa mendekat,NurNya menyuluh setiap pelusuk jiwa kontang kita. Memenuhi jasad yang saban waktu hadir kosong menyerah diri di persetiga malam,bersujud di kakiMu Ya Rabb. Dia yang sentiasa mendengar tanpa jemu,menitip kasih dan cinta yang mendalam lantas membunuh segala puing-puing cinta kami tanpa sedari. Bisikan kalimahMu meniup segala habuk cinta yang melekat di dindingan hati yang sekian lama menghuni. Astagfirullah hal 'azim. Sesungguhnya Dikau ingin menguntungkan cinta kami dari cinta yang merugi. Subhanallah.
Andainya kutinggalkan cinta ini demi keranaNya,maafkan aku kerana cinta kita belum menjanjikan apa-apa anugerah yang terbaik yang memungkinkan kita menjulang obor kemenangan sebagai kemuncak usaha kita,,sedangkan cinta Allah sudah tersedia kurniaan yang besar dan tertera jelas di dalam Al Quran dan FirmanNya. Cinta itu adalah ujian dari Allah s.w.t. untuk melihat di kalangan hamba-Nya, siapakah yang berjaya mengawal dirinya, tidak musnah menjadi korban cinta. Firman Allah s.w.t (surah Ali Imran, ayat 14):
Sesuatu yang indah sedang menanti kita di akhirat sana. Jadi jangan mencari yang indah di dunia sahaja,kerana keindahan di dunia hanyalah fatamorgana. Akhirkata dariku Tengku Aini Natasha,jangan takut untuk jatuh,kerana tak pernah jatuh tidak akan merasai kesakitan. Jangan takut gagal,kerana orang yang tak pernah gagal itu adalah orang yang tak pernah mencuba. Jangan takut untuk salah,kerana kesalahan pertama itu dapat mencari kebenaran pada kesalahan kedua dan seterusnya.
SELAMAT BERAMAL DAN SENYUM-SENYUMLAH SELALU KERANA SETIAP SENYUMAN ADALAH TERAPI BAGI DUKAMU....
Alhamdulillah, bila kita cari kasihNya pasti kita temui. Bila kita berkasih dengan insan kalanya kita terluka, terkecewa. Namun semaian kasih padaNya menjanjikan setia tak terkira. pastinya kita tak terluka apatah lagi kecewa. malah luka dan kecewa kita dirawat dengahn Nur kasihNya. Selamat menemui bahagia hakiki Tasha.
ReplyDelete