Dalam hidup ini kita tak punya sesiapa kecuali diri sendiri. Tetapi dalam diri sendiri kita beruntung kerana mempunyai sahabat yang memahami kita sebagaimana kita mengharapkan keikhlasan dan kejujuran seorang sahabat, begitulah juga dirinya. Tetapi kita sering lupa akan hal itu, cuma mengambil tahu tentang harapan dan perasaan kita. Kita rasa dikhianati bila dia tidak menepati janjinya. Kita tidak memberi dia peluang untuk menerangkan keadaannya. Bagi kita itu alasannya untuk menutup kesilapan dan membela dirinya.
Kita juga pernah membiarkan dia ternanti-nanti kerana kita juga ada janji yang tidak ditepati. Kita beri beribu alasan memaksa dia menerima alasan kita. Waktu itu terfikirkah kita perasaannya? Seperti kita, dia juga tahu rasa kecewa tetapi kita sering lupa. Untungnya mempunyai seorang sahabat yang sentiasa memahami, yang selalu berada di sisi pada waktu kita memerlukannya. Dia mendengar luahan perasaan segala rasa kecewa dan ketakutan kita. Harapan dan impian juga kita luahkan. Dia memberi jalan sebagai laluan penyelesaian masalah.
Selalunya kita terlalu asyik menceritakan tentang diri kita, hingga kadang-kadang kita terlupa sahabat kita juga ada cerita yang ingin dikongsi dengan kita. Pernahkah kita memberi dia peluang untuk menceritakan tentang rasa bimbang dan rasa takutnya? Pernahkah kita menenangkan dia sebagaimana dia pernah menyabarkan kita? Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan rasa gembiranya? Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya, seperti mana dia meniupkan semangat setiap kali kita merasa kecewa dan menyerah kalah? Dapatkah kita meyakinkan dia yang kita boleh dipercayai, boleh dijadikan tempat untuk bersandar bila terasa lemah agar tidak rebah? Bolehkah kita menjadi bahu untuknya bersandar?
Sesekali jadilah sahabat yang mendengar dari yang hanya bercerita. Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan sahabat kerana dia juga seorang manusia, ada rasa takut, sedih, bimbang, dan kecewa. Dia juga ada kelemahan dan memerlukan sahabat sebagai kekuatan. Kita selalu melihatnya ketawa tetapi mungkin dia tidak setabah yang kita sangkakan. Disebalik senyumannya, mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan. Disebalik kesenangannya, mungkin tersimpan seribu kekalutan.
Kita tidak tahu. Tetapi jika kita cuba jadi sahabat sepertinya mungkin kita akan tahu. Hargailah sebuah persahabatan kerana disebaliknya tersimpul segala-galanya. Cara untuk kita memperbaiki kasih sayang ialah jangan menuntut agar kita dicintai, tetapi mulailah memberi kasih sayang kepada orang lain tanpa mengharapkan balasan.
al salam....
ReplyDeletekita boleh mendengar dan bercerita supaya sama2 mendapat ilmu dan shafaat...belajar sama2 dr kesilapan...cuma mampu kah kita dgr kalau sebelah pihak nk cite tentang kehebatan dia pakai keta besar,handphone best2...huhuhu....
let be low profile than chasing glamour in this life...baru lah senang mendapat sahabat yg baik dan sama2 berjaya