CINTA AKAN PERGI JIKA TIADA INSAN YANG INGIN MENGHARGAINYA LAGI ... Photobucket

Monday, 9 April 2012







MAMPUKAH AKU JATUH CINTA LAGI?


Itulah soalan yang selalu bermain di minda.Jatuh cinta? Dengan siapa pula? Tak reti-reti nak belajar serik? Tak habis-habis nak cari masalah? Berapa kali hendak menyiksa diri,merindu menangis bila hati disakiti.Boikot makan,boikot tidur,boikot pada semua orang.Tidak boleh mendengar sebarang lagu nanti dikatakan menyindir.Semua kerja tak menjadi,apa pun tak boleh.Romantik telah bertukar menjadi sensitif yang kritikal sekali.Murung dan berkurung.Diri sudah tidak terurus.Rambut kusut masai.Misai janggut menumbuh tidak terarah lagi.Dan jerawat halus pun mula mengambil tempat di permukaan wajah kusam.Deringan telefon dan sms tidak lagi seghairah dulu .Kau menjeritlah telefon semaumu,namun nak menjawab tidak sekali.Biar berderet sms dikirim,nak membalas? Oh tidak,biarkan saja.Bahana putus cinta ,memang tiada berkomprominya.


Tapi berapa lama boleh bertahan dari semua itu. Seminggu? Sebulan? Setahun?  Atau selamanya?
Kalau seminggu, dendam masih membara,tengah berasap. Sebulan, masih suam-suam kuku,kadang boleh bertukar mendidih semula. Setahun,mungkin sudah berkurangan dari 10% ke 80 % kot. Selama-lamanya, ini sudah menjadi dendam tegar. Tidak baik untuk kesihatan. Kena banyak muhasabah diri. Habis tu?


Salahkah bercinta?  Salahkah kalau menyintai mana-mana makhluk Tuhan yang bernama insan ini? Yang bersalah bukan cinta,tapi mereka-mereka itu sendiri yang bersalah kerana silap meletakkan kedudukan cinta yang tidak pada tempatnya. Seharusnya kedudukan cinta terletak pada akal,bukan pada nafsu..Baiklah tidak usah terlalu panjang membicarakan persoalan di atas,itu akan dimasukkan dalam bab khusus untuknya. Berbalik kepada tajuk asal,Mampukah Aku Bercinta Lagi? Pejam mata rapat-rapat,undurkan minda ke belakang sebentar.Kenangi sejarah lalu,tapi bukan untuk mengulanginya. Cuma mengambil dasarnya untuk dijadikan jambatan,lalu meniti perlahan dengan penuh berhati-hati agar tidak tergelincir lagi. Mungkin dahulu masih terlalu mentah dan dangkal mengenai cinta.Asalkan sidia sering berbelanja, sering menghubungi, memberi cenderamata atau hadiah atau berbagi kisah cinta, sudah cukup memenuhi kriteria seorang sang kekasih dan secara tidak langsung sudah termasuk dalam senarai kekasih yang menyintai. Mudahkan,hendak menaik taraf dalam percintaan yang masih kabur dan belum sempurna celiknya  tanpa memikirkan graf-graf penurunannya.Logik akal kah kalau naik tiada yang menurun? 


Sebab itu ada yang kecundang,tewas dan kecewa.Ya,sekarang baru sedar,padan muka.  Siapa suruh jadi hamba cinta? Siapa suruh biarkan diri ditimpa perasan yang sidia itu sayang dan cintakan awak? Memetik ungkapan cinta dari Imam Ibnu Qayyim, yang berbunyi: " Cinta yang terpuji ialah cinta yang mendatangkan kepada pemilik cinta itu hal-hal yang memberinya manfaat di dunia maupun di akhirat. Maka cinta yang seperti ini merupakan muara sebuah kebahgiaan. Adapun cinta yang tercela adalah cinta yang mendatangkan kepada pemiliknya hal-hal yang membawa kepada kerugian dunia dan akhirat. Dan cinta semacam ini adalah sumber penderitaan dan duka lara". Subhanallah,alangkah jauh tersasar percaturan cinta terdahulu,semuanya kosong umpama sehelai kertas putih tiada berdakwat.


Mungkin juga aku mampu bercinta andai semangat seperti cinta seorang Antarah terhadap kekasihnya Ablah. Antarah seorang penyair dan pujangga Arab yang boleh dijadikan penguat semangat dan contoh terbaik dalam percintaan yang sebenar. Cinta Antarah terhadap Ablah  adalah cinta suci murni yang datang dari ketulusan hati. Antarah seorang yang berperanan dalam menjaga budaya dan tradisi kaumnya. Beliau seorang pujangga yang pintar dalam melestarikan  puisi-puisi yang bertemakan peperangan dan kepahlawanan. Beliau seorang pujangga cinta yang tersohor.Antarah menjadikan rasa cintanya suatu semangat  demi meraih keberanian di medan perang yang dahsyat,mempertaruhkan nyawa sehingga berhasil menawan musuh. Cinta asyik Antarah terhadap Ablah sentiasa mengiringi setiap langkahnya serta menjadi pendorong pembakar semangat keberanian seperti di dalam bait-bait puisinya : 


                               Aku teringat  dirimu sementara 
                               tombak-tombak laksana unta-unta lapar
                               yang hendak menjadikan mangsa
                               dan pedang-pedang terhunus untuk
                               mengalirkan darahku dengan suka cita
                               dengan suka cita akan kuhadapi
                               pedang-pedang itu kerana ia berkilau
                               laksana gigi-gigi manismu 
                               di saat engkau tersenyum...    


Nah, kenapa tidak diambil semangat itu dan dibawa ke dalam cinta kita, sekurang-kurangnya kita tidak lagi menyalahkan cinta yang hadir secara tiba-tiba. Mampukah aku?
  
" Ketika cinta menyapamu,jangan silau dengan indahnya dia,tetapi lihatlah apakah cinta itu akan membuatmu semakin dekat kepada Allah atau tidak "




                              ~~ <3 <3 SELAMAT MENCUBA ~~ <3 <3



1 comment:

  1. Rasa bahagia dan tak bahagia bukan berasal dari apa yang Anda miliki, bukan pula berasal dari siapa diri Anda, atau apa yang Anda kerjakan.
    Bahagia dan tak bahagia berasal dari pikiran dan hati Anda.

    ReplyDelete